Monday, March 23

SIAPA YANG UNTUNG...................?


PAS nampaknya memang sudah lama sedar bahawa DAP bukanlah sebuah parti yang mempunyai integriti yang tinggi. PAS akur, dalam menegakkan benang politiknya, DAP sanggup dan tergamak menyorokkan kebenaran.

Demi mengaut sokongan politik, DAP secara kurang adil menggunakan isu-isu agama dan sentimen kaum untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam-Melayu supaya menjarakkan diri daripada pola pemikiran dan budaya politik Melayu.

DAP berusaha keras membangkitkan keresahan, kebimbangan dan kebencian terhadap satu juzuk ajaran Islam – sistem kehakiman atau hukum hudud—sebagai sesuatu yang “terlalu rapat dan bertaut dengan ketuanan Melayu”.

Ciri hukuman hudud digambarkan sebagai sesuatu yang begitu negatif sekali sehingga seolah-olah jika dilaksanakan di negara ini akan menzalimi hak dan kepentingan rakyat bukan Islam.

Setelah kempen anti-hudud ini di kalangan ahli-ahlinya berhasil, DAP secara halus meniupkan rasa resah, bimbang dan benci terhadap hudud kepada rakyat bukan Islam dalam parti-parti lain, termasuk parti bukan Melayu dalam BN.

Hari ini, kempen halus DAP itu sudah mula menampakkan hasilnya. Ada parti-parti bukan Islam dalam BN dengan lantang dan angkuh “menyambung” lidah DAP memusuhi hudud hingga memperjuangkan penentangan di mahkamah.

Namun malang bagi DAP yang mahu memperjuangkan pelaksanaan hudud ialah sekutu politiknya, PAS. Dalam banyak hal PAS mempunyai pangkalan sokongan orang-orang Melayu yang meluas di bandar dan luar bandar.

Sumbangan PAS dalam dua pilihanraya umum lalu bagi mendorong pengundi Islam-Melayu menyokong DAP dan melonjakkan prestasi DAP, amatlah besar. PAS juga penyumbang besar dalam gerakan politik seperti Bersih 1, 2 dan 3.

PAS mempunyai pengaruh dan semangat juang yang tinggi yang boleh menampilkan wajah yang berani dan gagah mempromosikan kudrat politik Pakatan Rakyat. DAP tiada ciri kekuatan dan keberanian seumpama itu.

DAP guna hudud takutkan bukan Islam

Sebaliknya, DAP bukan sahaja bijak memanfaatkan kekuatan dan pengaruh PAS ini malah dengan waras menggunakan perjuangan PAS – hudud – untuk menebarkan pengaruhnya di kalangan bukan Melayu-Islam di luar DAP sendiri.

Apa yang dituduhkan terhadap Umno dan BN yang didakwa sering menggunakan isu dan sentimen perkauman untuk mengukuhkan kedudukan politiknya, strategi sama sebenarnya digunakan oleh DAP sendiri.

Hudud jadi modal untuk menyatukan keresahan, kebimbangan dan kebencian di kalangan pengundi bukan Melayu terhadap apa sahaja yang berbau dan bersangkutan Melayu.

Bagi mententeramkan parti majoriti Melayu dalam Pakatan Rakyat, PKR, DAP menggunakan platform demokrasi, hak asasi dan keadilan untuk mencari titik persamaan.

PKR yang tidak mengakui ia parti Islam menyambut doktrin politik DAP itu dengan senang hati. Malah ramai pemimpin berlatarbelakang pendidikan sekular dalam PAS pun terkesima dan terpengaruh dengan lakonan DAP.

PKR mengisytiharkan bahawa hudud bukanlah satu keutamaan dalam usaha menegakkan keadilan. “Ulama-ulama” PKR menyifatkan hudud hanya satu juzuk  kecil ajaran Islam. Malah ada yang mendakwa hudud adalah buatan manusia dan bukan daripada Allah!

Pemimpin-pemimpin PAS amat menjaga adab dalam menghadapi lakonan DAP yang menyerang PAS habis-habisan hanya mahu melaksanakan hukum hudud. Senjata mereka ialah sabar.

Namun ada juga pemimpin PAS yang lebih suka bersemuka daripada bersikap “talam dua muka” dalam menghadapi percaturan politik DAP ini. Golongan ini mahu tahu mengapa sebagai rakan politik, DAP meremehkan dasar hudud PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkali-kali mengajak dan memujuk DAP supaya berbincang soal hudud. Malah pada satu peringkat beliau mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berdebat secara terbuka.

Mustafa kaget mengapa DAP masih belum mahu atau cuba faham bahawa hudud adalah inti perjuangan PAS dan ia sudah menjadi citra politik PAS lama sebelum PAS bersetuju menjalin kerjasama politik dengan DAP dan PKR.

“Mengapakah DAP mahu menghalang PAS? Hudud memang bukan sebahagian platform persetujuan Pakatan Rakyat tetapi ia adalah agenda perjuangan PAS. DAP tahu hakikat ini.

“PAS menggerakkan isu hudud ini secara demokrasi melalui badan perundangan dan ia hanya akan dikuatkuasakan ke atas orang Islam di Kelantan. Bagaimana DAP boleh mengatakan langkah ini bertentangan perlembagaan?,” tingkah Mustafa.

Bila disergah begitu, Guan Eng membisu. Namun asuhan akhlak Islam memujuk PAS memendam ego demi menyelamatkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.  

Menginsafi ia sebuah parti politik yang berpaksikan ajaran Islam, pemimpin-pemimpin PAS berusaha tidak mahu mengaibkan orang lain; lebih-lebih lagi DAP.

Meskipun PAS dihamburkan dengan pelbagai tuduhan dan cercaan sebagai pengkhianat, menikam dari belakang dan menari mengikut rentak musuh bersama mereka – Umno – PAS masih mahu menjaga adab.

PAS keberatan memperbesarkan isu ini walhal pemimpin DAP sendiri, Lim Guan Eng,  sudah menandatangi kenyataan bersama Presiden PAS, Haji Abdul Hadi sebelum pilihanraya umum lalu bahawa PAS dan DAP saling menghormati hak masing-masing untuk menegakkan negara yang mereka idamkan.


Sebagai mengingatkan DAP supaya jangan membakar jambatan Pakatan Rakyat, Haji Hadi sengaja memuat naik dalam halaman Facebooknya pada 29 April 2013 salinan kenyataan bersama berkenaan. Antaranya ia berbunyi:

“Kami pemimpin tertinggi dalam PAS dan DAP menegaskan bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah berteraskan kepada dasar bersama atau manifesto Pakatan Rakyat yang mengikut konsep “Negara Berkebajikan” PAS dan perjuangan “Adil Untuk Semua” mengikut Perlembagaan Malaysia oleh DAP.

“PAS berhak memperjuangkan aqidah dan Konsep Negara Islam secara sendiri. DAP juga berhak memperjuangkan Negara Berperlembagaan Parlimen yang tidak sehaluan dengan konsep Negara Islam.

“Perbezaan di antara PAS dan DAP hanya 5 peratus sedangkan kami bersetuju 95 peratus untuk menegakkan kebebasan, keadilan, kebenaran, integriti dan demokrasi untuk semua.”

Mungkin dalam sifir DAP, meskipun keputusan pilihanraya umum 2013 menunjukkan prestasinya mengatasi PAS dan PKR, ia boleh menang lebih besar jika dapat memancing sokongan lebih ramai bukan Melayu, terutama dalam BN.

Kelulusan pindaan Kanun Jenayah Syariah II (1993) Kelantan kelmarin, membayangkan betapa congakan politik DAP tepat. Kini dua komponen bukan Melayu BN akan meneruskan serangan terhadap hudud di mahkamah pula.

Sementara itu, DAP boleh menghela nafas lega kerana bersama PKR ia berjaya merobek perpaduan PAS yang dibelah oleh pengaruh kumpulan progresif atau Erdogan atau Anwarinas dengan kepimpinan ulama yang dikatakan konservatif.

Bagi DAP lepas jambatan, tongkat tidak berguna lagi. DAP kini melihat untuk pilihanraya akan datang, pola undi bukan Melayu akan bertumpu kepadanya kerana isu hudud sementara undi Melayu berpecah tiga – Umno, PAS dan PKR.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive