Monday, October 27

HIDUP ATAU MATI DIDALAM.....................?


Adakah mahkamah tertinggi di negara ini akan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, menambah atau mengurangkan hukuman penjara, atau meminda sabitan kesalahannya?

Persoalan ini sentiasa berlegar dalam pemikiran masyarakat umum sambil mereka menunggu pendengaran rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Okt ini terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Ini kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah. Mahkamah Tinggi mensabitkan Anwar terhadap empat pertuduhan rasuah pada 4 April, 1999.

Bagaimanapun, selepas berada di penjara hampir enam tahun kerana kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept, 2004, apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya menjadi ketua hakim negara, meminda sabitan kesalahan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.

Perbicaraan liwat kedua Anwar di Mahkamah Tinggi menarik perhatian di seluruh negara memandangkan kes itu ditangguhkan hampir 70 kali.

Sebahagian besar daripada penangguhan itu dibenarkan atas permohonan pasukan pembelaan Anwar atas pelbagai sebab, antaranya, supaya hakim perbicaraan menarik diri daripada mendengar kes itu.

Begitu juga apabila rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan beliau dibawa ke Mahkamah Rayuan. Rayuan itu ditangguhkan lebih daripada lima kali disebabkan beberapa permohonan yang difailkan Anwar.

Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman bertulis bertarikh 11 April, menyatakan"perlu diambil maklum bahawa sebahagian besar daripada permohonan penangguhan dibuat berikutan responden (Anwar) memfailkan satu demi satu permohonan".

Anwar mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah satu konspirasi politik. Bagaimanapun, peguam kanan Datuk N. Sivananthan memberitahu Bernama apabila seseorang itu didakwa, ini berdasarkan hakikat bahawa pendakwaan berpendapat ada bukti yang cukup untuk mendakwanya.

"Jadi, saya percaya pihak pendakwaan bertindak tanpa dipengaruhi tekanan politik. Jika perkara sebaliknya yang berlaku, ia sesuatu yang mendukacitakan bagi sistem kehakiman jenayah kita," kata Sivananthan, yang juga peguam Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Beliau berpendapat apabila pihak pendakwaan mendakwa seseorang, ia dibuat berdasarkan keyakinan bahawa dakwaan itu boleh membawa kepada sabitan. Beliau sesungguhnya berharap rayuan itu diputuskan semata-mata berdasarkan undang-undang dan bukannya atas sebab lain.

Ramkarpal Singh, seorang daripada peguam Anwar, mengesahkan pendengaran kes itu akan diteruskan pada 28 dan 29.

SUMBER AGENDA DAILY

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive